Saturday, November 22, 2008

LailahaillalLah MuhammadurrasululLah ! Tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan AlLah dan Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh AlLah. Segala puji dan puja bagi AlLah SWT yang telah memberi taufiq serta hidayahNya kepada kita semua untuk menerima Islam, sebuah agama yang haq melalui titis-titis perjuangan generasi -generasi yang sebelum kita sehinggalah kepada generasi yang pertama yang diketuai oleh Abu Bakr ra yang menerima langsung dari lisan lidah RasululLah SAW yang mulia, yang tidak menuturkan sesuatu melainkan kebenaran.

Kenyataan iman atau aqidah inilah yang menjadi `harta` yang tak ternilai bagi ummat Nabi Muhammad SAW walau di mana saja mereka berada yang mereka akan pertahankan walaupun nyawa sebagai taruhan. Sebaliknya harta ummat yang berharga inilah juga, yang menjadi sasaran dari musuh untuk menyerang serta merobek-robek kesuciannya. Disebabkan persoalan ini tidak pernah selesai maupun menemui jalan perdamaian atau perkongsian aqidah maka saya suka melanjutkannya lagi sebagai perbincangan buletin kali ini. Apatah lagi usaha dari pihak musuh bukan lagi memesongkan pengikut-pengikut bawahan yang rata-ratanya lemah, tetapi peneraju-peneraju ummat yang lemas dan `zauq` dek kehalusan dan kesenian virus `made in` jahiliyyah.

Dua tiga hari lepas ana ada terbaca satu artikel yang rasanya perlu dikongsi bersama sahabat-sahabat sekelian untuk penilaian bersama. Persoalan yang timbul dalam perbincangan ringkas itu ialah `Boleh atau tidak kita sebagai ummat Islam menghadiri atau bersama-sama orang bukan Islam di dalam majlis menyambut perayaan mereka ?` `Bagaimana pula jika berniat untuk berdakwah?

Sebuah hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Saidina Umar al-Khattab yang bermaksud - ` Jauhilah kamu daripada musuh AlLah pada hari raya mereka.` (Muqaddimah Aqidah Muslim -Tulisan Jawi cetakan ke-4 tahun 1993 Pustaka Aman Press mukasurat 94, Rumi Gedung Gua cetakan pertama tahun 1985 mukasurat 101.) Sebuah hadith yang ringkas dan agak mudah untuk memahaminya, Nabi SAW menyuruh supaya orang-orang Islam yang beriman supaya menjauhi diri masing-masing dari musuh Allah (orang kafir) pada hari raya mereka. Banyak perkara yang kita sebagai ummat Islam hari ini boleh mengambil atau membuat pedoman dari hadith yang pendek tersebut.
1- Perayaan-perayaan yang bukan Islam ini memang telah ada sejak dahulu lagi, malah antaranya sebelum kelahiran Nabi SAW.
2- Nabi SAW amat-amat maklum akan peristiwa-peristiwa yang berkaitan perayaan agama lain.
3- Sebagai Rasul, Nabi tidak pernah mengesampingkan tugas berdakwah kepada semua khalayak.
4- Sebagai Rasul juga, Nabi tidak pernah sesaat pun hidup tanpa berdakwah atau niat tidak berdakwah.
5- Cara berdakwah yang Nabi SAW tunjuk dan suruh orang-orang mukmin lakukan ialah dengan menjauhi perayaan mereka (kafirin).
6- Itulah satu cara yang tepat dan haq bagi menyatakan pendirian serta keyakinan seorang muslim tanpa perlu membazirkan sepatah perkataan pun, kerana setiap saat kita adalah berdakwah.



Mana mungkin Nabi `tidak pandai` mengambil peluang berdakwah kepada orang bukan Islam dahulu. Pada perhimpunan perayaan merekalah baru terdapat perhimpunan yang dihadiri oleh musyrikeen paling ramai. Kan senang jika Nabi pun pergi dan berdakwah langsung kepada mereka yang tersedia ramai itu.

Alasan berdakwah yang diada-adakan itu pun sebenarnya tidak pernah pun ada di zaman para sahabat, tabien, atba’ut tabien, seterusnya……sampailah ke masa kita kini. Tidak pernah kita dengar pandangan-pandangan yang mengatakan saranan Nabi supaya menjauhi perayaan-perayaan orang bukan Islam pada hari raya mereka tidak relevan dengan tugas berdakwah… agak keras juga la artikel yang ditulisnya tapi rasanya betul jugak. Nak buat macam mana, nama pun manusia memang la tak sunyi dari kesilapan dan lupa. Tapi tak tahulah apa pandangan orang lain tentang perkara ini. Sama-samalah kita cuba mencari kebenarannya supaya kita tidak terus jauh dari rahmat Allah taala.

Mungkin ini sahaja yang dapat kita kongsi bersama dan ana akhiri dengan Firman AlLah yang bermaksud;

` Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan AlLah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanya berdusta terhadap AlLah. ( al- An`aam ayat 116 )

` Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminat apabila AlLah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. ( al - Ahzab ayat 36 )

Semoga AlLah SWT mengampuni dosa-dosa kita dan memberikan taufiq serta inayahNya bagi meneruskan perjuangan yang penuh pancaroba ini, walLahua`lam !

0 comments: