Saturday, November 29, 2008

Siri 7

Idola, Ikon PENYESAT Aqidah Ummah

Alhamdulillah, puja puji hanya berhak dan layak dipersembahkan kepada Allah Taala, Pencipta dan Pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga, para sahabat serta mujahidin mujahidat yang telah berjuang untuk menegakkan cara hidup Islam di dalam segenap segi kehidupan mereka.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah, pada kali ini mari kita melihat betapa bahayanya ` penyesatan-penyesatan bentuk baru` yang berligar serta berkisar dalam masyarakat ummah dewasa ini. Istilah-istilah seperti idola, ikon dan sebagainya yang sering digunapakai generasi kini, tanpa menyedari dan mengetahui hakikat sebenar istilah tersebut atau hanya terikut-ikut telah memerangkap dan mengundang ke arah tergelincirnya aqidah ummah dan generasinya. Kalimah idola diambil daripada ‘idol’ istilah bahasa Inggeris yang bermakna patung, berhala, pujaan, di mana ‘idola’ ialah seseorang atau sesuatu yang disanjung berlebihan, dipuja dan didewa-dewakan.

Idola membawa maksud ‘manusia sembahan’ generasi kini, idola suatu kalimah ‘jahat’ yang tidak bertanggungjawab dan tidak terikat dengan tuntutan mengikut kebaikan. Ia adalah ucapan yang terbit daripada runtunan hawa nafsu dan perasaan menyanjungi, mendewa-dewakan atau terlampau menyukai seseorang samada penyanyi, pelakon, pemerintah yang berkuasa atau bangsa-bangsa yang sesat ( yang dianggap maju) hatta tok-tok guru dan alim ulama’ sendiri. Lantas idola itulah menjadi ikutan ataupun tempat menggantung harapan tanpa menoleh adakah kebaikan atau keburukan, kebenaran atau kebatilan yang dipersembahkan. Sesungguhnya mereka ini akan menyesatkan pengikutnya, pemujanya dan penyanjungnya tetapi mereka akan berlepas diri apabila berhadapan dengan pengadilan Allah SWT di akhirat nanti.

Hakikatnya kalimah ini telah diperangi oleh Islam lebih 1400 tahun yang lalu daripada menguasai pemikiran, perasaan dan aqidah ummah ketika itu di mana pada masa itu mereka menjadikan berhala, patung, batu, orang bangsawan, pemimpin kenamaan dan sebagainya sebagai ‘idola’ sembahan dan pujaan. Sedangkan di dalam Islam, Rasulullah SAW sendiri yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT bukanlah diangkat untuk menjadi manusia pujaan (pujaan hanya untuk Allah) dan idola ummah bahkan Baginda adalah qudwah atau uswah (bukan disebut idola ), sumber suri tauladan yang mulia menjadi petunjuk kepada jalan kebenaran dan pemberi peringatan kepada semua manusia supaya mengingkari sebarang penyembahan dan pemujaan kepada selain daripada Allah.

Sesungguhnya ‘trend’ pemujaan idola terutamanya artis-artis dikalangan remaja dan muda-mudi Islam seluruh dunia sudah termaklum dan amat membahayakan kepada aqidah dan akhlak generasi ummah. Ia bukanlah satu kebetulan , tetapi ia adalah perancangan jahiliyyah antarabangsa bagi menyesatkan dan melalaikan ummat Islam seluruh dunia dengan mewujudkan idol-idol peringkat global atau tempatan - Malaysian idol, Indonesian idol hatta Afghanistan yang beberapa tahun baru ‘dimerdekakan’ oleh jahiliyyah telah berjaya meraikan kelahiran idol Afghanistannya beberapa bulan yang lalu dengan disaksikan oleh berjuta muda-mudi ‘generasi baru’ walaupun idol wanitanya masih lagi tidak dapat melepasi benteng ummah. Bukan idol peringkat dewasa sahaja yang dicungkil dan diukir bintangnya bahkan di peringkat kanak-kanak pun tidak ketinggalan dengan bintang kecil atau idola cilik dan sebagainya. Siapakah yang kita akan harapkan menangani permasalahan yang meruncing dan menyesakkan dada ibu bapa muslim hari ini…???????

Perkara yang lebih malang lagi, apabila budaya pemujaan terhadap idola ini telah menular dan meresap masuk ke dalam gerakan ummat Islam dewasa ini, di mana ahli-ahlinya telah dibiarkan terjurus kepada pemujaan pemimpin-pemimpin dan tok-tok guru atas dasar kekaguman, fanatik, taasub atau terlampau menyanjungisehingga menutupi dan mengaburi kebenaran. Mereka tidak diajar untuk menggunakan aqal secara sihat dan berfikir secara terbuka dan matang.

Malang sekali kepada perjuangan ummat Islam dan generasi ummah akan datang sekiranya perkara ini diizinkan berterusan ……Justeru itu ummah yang ada kesedaran perlulah bertindak membenteras gejala yang merosakkan aqidah serta akhlak ummah ini, sebarang ungkapan, kenyataan atau soalan berkaitan idola, ikon dan sepertinya ini perlulah dihentikan penggunaannya.

Inilah 3 faktor yang telah disebut oleh Sayyid Abul A’la AlMaududi Rahimahullah yang akan menyesatkan aqidah ummah iaitu : 1) Mengikut hawa nafsu atau kemahuan sendiri.

2) Mengikut adat kebiasaan tanpa berfikir.

3) Kepatuhan dan pemujaan kepada selain Allah SWT

Akhir sekali marilah saudara ummahku muslimin serta muslimat, kita gerakkan kembali hakikat perjuangan Islam dengan mengembalikan segala asas-asasnya dalam membina kehidupan kita, biarpun dibenci oleh hawa nafsu sendiri, bangunlah dari mimpi indah yang menipu dan memukau perasaanmu. Sekian salam perjuangan.




0 comments: