Saturday, November 1, 2008

APA ERTINYA KITA MENGANUT ISLAM ?

Asyhadu alLailahaillallah, waasyhadu annamuhammadarasuluLlah ! Yang bermaksud- Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah, dan sesungguhnya aku juga sanggup menjadi saksi pula bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah.

Segala puji bagi Allah yang mengizinkan kita untuk bertemu sekali lagi melalui buletin ini, Selawat dan Salam tak dilupakan kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarganya seterusnya seluruh para sahabat Baginda yang dimuliakan.

Kalimah Thoyyibah di atas, adalah rangkaian kata-kata yang perlu dilafazkan oleh setiap individu sebagai bukti bahawa dia telah sanggup menjadi seorang Muslim atau orang Islam. Itulah `bar code` bagi setiap ahli ummah ataupun bagi setiap `produk` ummah samada ianya berupa manusia, barangan, perkhidmatan, kebudayaan, sistem, pertubuhan malah negara sekalipun, itulah bukti pengenalan yang akan dikenali serta diguna pakai dalam `mesin pengimbas` identiti ummah untuk seluruh ummat Islam sebenarnya.

Secara zahirnya tidaklah susah untuk menyebut atau belajar menyebut rangkaian kalimah itu. Lidah tidak bertulang ! burung tiung pun jika diajarkan menyebutnya selalu akan dapat menyebutnya dengan baik insyaAllah. Tape recorder atau alat rakaman yang semakin canggih, lagi mudah dan pantas melakukannya.

Makhluk atau benda yang tak ditaklifkan kepada mereka seruan agama ini kita letak sebelah dahulu. Cuma sengaja ditimbulkan tadi sekadar nak menampakkan dengan jelas bahawa lafaz kalimah thoyyibah itu akan bererti atau dikira sebagai bukti, apabila dilafazkan dalam keadaan sedar oleh mereka yang berakal yang hidup dengan jasad dan rohnya sekali.(Samada manusia ataupun jin)

Jika kita sedar, berakal waras, malah kita pula hidup dengan jasad serta roh, bolehkah kita mempermain-mainkan ikrar keimanan kita kepada Allah SWT ? Tentu tidak sama sekali saudaraku ! Tetapi mengapa realitinya di sekeliling kita tidak begitu, kalimah thoyyibah atau ikrar tersebut seolah-olah tidak bernilai langsung kepada individu-individu ummat tersebut. Mungkin mereka ini salah faham atau memang tak faham langsung akan makna kalimah keramat itu.

Mari kita cuba menyoroti akan maksud kalimah tersebut secara umumnya, mungkin bermanfaat untuk kebaikan kita bersama. Kalimah ini sebenarnya menjadi penting kerana ia telah mengangkat atau membezakan seseorang itu menjadi manusia sebenarnya yang telah dijadikan oleh Allah SWT dengan segala sifat-sifat kemanusiaannya. Sebaliknya tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan oleh Allah.

Secara dasarnya semua manusia yang beriman atau tidak akan mengakui bahawa makan dan minum penting untuk kelangsungan hidup kita di atas mukabumi ini. Tetapi ada kalanya kita makan tak minum, atau sebaliknya. Ada ketikanya kita tidak makan dan minum langsung seperti berpuasa atau terputus bekalan, tetapi kita masih mampu untuk meneruskan hidup ini dengan izin Allah. Pengambilan terhadap makan dan minum ini hanya ketika-ketika yang diperlukan sahaja yang manusia itu akan mengambilnya samada dia beriman atau tidak.

Satu perkara penting lagi yang semua manusia samada beriman atau tidak, mesti mengambilnya sejak saat kelahirannya di bumi ini sampailah saat terakhir kehidupannya, tidak berhenti-henti terus menerus semasa jaga maupun ketika tidur lena iaitu pernafasan oksigen. Dengan sendirinya manusia itu akan membawa bekalan oksigen ini kemana-mana yang tidak terdapat bekalan oksigen ketika mereka berhajat untuk ke tempat tersebut, seperti dasar lautan atau ruang angkasa. Ya ! semua manusia tahu apa akibatnya jika kita ketiadaan bekalan oksigen tersebut, kita akan mati dengan izin Allah SWT.

Seperkara lagi yang terlebih penting dari dua perkara di atas yang perlu ummat manusia seluruhnya tahu ialah lafaz atau pengakuan akan kalimah thoyyibah yang disebut pada awal perbicaraan kita kali ini. Ia amat penting melebihi keperluan kita kepada perkara-perkara asas kehidupan kita. Ia satu lafaz yang mudah disebut tetapi membawa maksud dan pengertian yang cukup penting bagi seluruh kehidupan serta kejadian diri kita sendiri.

Apabila seseorang itu telah sedar malah redha mengakui akan keimanannya kepada Allah dan RasulNya dengan melafazkan kalimah tersebut maka dia telah mengakui akan hakikat kewujudan atau kejadian dirinya sendiri sebagai makhluk Allah yang dilahirkan untuk hidup di bumi sementara sampai waktu yang diizinkan Allah kepadanya. Dengan pengakuan tersebut dia sedar bahawa dirinya cuma sebagai hamba kepada Pencipta. Sebagai hamba dia akan taat dan menuruti segala ajaran Tuhannya yang disampaikan melalui RasulNya iaitu Muhammad SAW.

Sebab itu kalimah ini akan membezakan atau menjadi `bar code` kepada ummat Islam samada dia menjadi hamba Allah yang beriman atau menjadi `hamba` juga tetapi tidak beriman. Mereka yang jahil ini sebenarnya berusaha menyembunyikan atau memadamkan `bar code` yang ada pada semua makhluk ciptaan Allah SWT. Mereka terlindung atau tidak mendapat hidayahdisesatkan oleh iblis laknatullah untuk melihat dan seterusnya menerima diri mereka sendiri sebagai hamba yang dijadikan Allah. Mereka sombong malah berlagak angkuh bahawa semua ini terjadi dengan sendirinya tiada yang Maha Pencipta. Inilah sebenarnya makhluk yang sehina-hinanya kerana mereka manusia yang lahir sebagai manusia tetapi menafi atau membunuh kemanusiaan yang ada dalam dirinya sendiri. ataupun

Saudaraku yang muslim ! Ada segolongan lagi yang lebih hina dari mereka yang tak beriman tadi, iaitu mereka yang berpura-pura beriman dengan melafazkannya dengan begitu baik sekali bersama-sama kita tetapi hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui bahawa mereka tidak mahu pun hidup di atas mukabumi ini sebagai hamba yang taat dengan ikhlas kepadaNya. Mereka lebih bijak mereka cipta alasan atau hujah-hujah yang mengelirukan kadang-kadang nampaknya begitu `syar`ie ` sekali bagi mengelabui ummat yang lemah akalnya.

Tetapi insyaAllah kita yakin dengan janji Allah bahawa segala lakonan dan tipu daya mereka semuanya itu akan dapat dikenali oleh orang yang benar-benar beriman kerana maksud al-quran ada menyebutkan `Sesungguhnya penolong kamu hanya Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman` dan `Sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman sebagai penolong, merekalah yang akan mendapat kemenangan`- al-maidah 55-56. wallahu`alam.

0 comments: