Tuesday, December 9, 2008

Siri 9

KHAS RAYA HAJI

AlLahukbar ! AlLahukbar ! AlLahukbar !... walilLahilhamd ! Selamat Hari Raya Qurban diucapkan kepada semua muslimin dan muslimat sekelian walau di mana jua berada. Sempena dengan perayaan agung ummah ini ana mendoa dan menyeru kepada diri ana dan ummah seluruhnya marilah kita pertingkatkan pengetahuan, pengorbanan dan ukhuwah sesama ummah seluruhnya bagi mengembalikan keIzzahan Islam itu sendiri.

*Tarbiyyah – Kepentingan Tarbiyyah dalam gerakan:

Membentuk ahlinya di semua peringkat agar mempunyai ciri-ciri akhlak atau adab yang menepati akhlak Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Membentuk atau menerapkan akhlak Islam tersebut ke dalam masyarakat sebenar yang berada di sekeliling kita tanpa adanya batas geografi dan warna kulit.

Menegakkan amar maaruf nahi mungkar supaya diri dan masyarakat terpelihara daripada unsur-unsur yang tidak beriman kepada AlLah.

Menjalankan segala aktiviti yang membolehkan ahli atau anggota masyarakat menzahirkan penghambaan kepada AlLah dan hidup sebagai khalifah AlLah yang mencari keredhaanNya.

Demikian di antara tujuan pentarbiyyahan yang sepatutnya diberikan keutamaan oleh kita sebagai anggota sebuah gerakan Islam. Para pendokong gerakan Islam seharusnya telah bersedia untuk tujuan dan halatuju tersebut.

Semua aktiviti dan strategi gerakan patut dilihat dan dinilai melalui kacamata tujuan dan matlamat tarbiyyah. Maka barulah perlaksanaannya menjadikan sebuah gerakan Islam itu segala aktivitinya adalah ibadat. Topik pentarbiyyahan memanglah menarik untuk diperbincang tetapi amat payah apabila hendak diterjemahkan menjadi realiti. Ini kerana ia bukanlah seni yang dinikmati keindahan lahirnya, tetapi ia adalah `kehidupan` itu sendiri bagi seseorang yang akan dipersembahkan kehadapan AlLah di akhirat nanti. Oleh itu kita mengharapkan setiap amalan dan kerja kuat kita bersama pertubuhan untuk memenangkan Islam adalah kehidupan kita yang sebenarnya, bukan untuk tujuan-tujuan yang lain. Kita berlindung diri kepada AlLah SWT daripada gugur dipertengahan jalan tanpa mencapai keredhaanNya.

** Selamat Pengantin Baru (Kepada semua bakal /pasangan pengantin)

Islam menuntut serta menggalakkan ummatnya agar berkahwin dan berkeluarga, kerana keluarga adalah satu unit kecil dalam masyarakat yang lebih besar dan seterusnya akan membentuk sebuah daulah (Hadharah hari esok). Rumahtangga yang dibina atas asas yang kukuh berlandaskan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah merupakan tapak yang subur untuk dibangunkan sebuah negara Islam di masa hadapan.

Pemilihan jodoh bakal pasangan adalah muqaddimah kepada sebuah perkahwinan. Nabi Muhammad SAW menganjurkan supaya 4 ciri yang perlu diberikan perhatian apabila membuat pemilihan iaitu:

a) kerana hartanya b) kerana keturunannya c) kerana kecantikannya d) kerana pegangan agamanya.

Jika tidak dapat berkumpulnya kesemua ciri-ciri tersebut berbahagialah orang yang mengutamakan pegangan agamanya sebagai pilihan utama.

Suatu perkara yang perlu difahami oleh seseorang sebelum termetrainya sebuah pernikahan atau perkahwinan, ialah ianya merupakan suatu / sebuah perjanjian (kontrak) untuk bertanggungjawab terhadap tugas atau tanggungjawab masing-masing. Suatu pernikahan tidak boleh dihadkan tempohnya walaupun bukan semua perkahwinan kekal sepanjang hayat. Antara hikmah disyariatkan perkahwinan;

Menghalalkan pergaulan lelaki dan wanita mengikut panduan agama.

Memelihara diri daripada melakukan perkara yang haram seperti zina dan muqaddimahnya.

Memelihara keturunan daripada kehinaan dan kemerosotan.

Melahirkan zuriat dan anak pinak.

Membentuk keluarga yang akan membantu menyusun struktur masyarakat ummah.

Melahirkan semangat tolong menolong di antara ahli keluarga.

Mengujudkan kerjasama antara suami isteri untuk memikul amanah kehidupan serta mengeratkan lagi hubungan 2 buah rumpun keluarga.

Matlamat sebuah perkahwinan dilangsungkan adalah bagi mencapai kebahagian dan keredhaan. Oleh itu amatlah wajar bagi setiap pasangan bersedia dari segi mental dan jiwanya untuk melakukan `perubahan` apabila memasuki gerbang baru iaitu sebuah ` bahtera keluarga`.

0 comments: