Kedua orang tua itu mempunyai kewajipan mendidik dan mengajar anaknya berbuat baik dalam pergaulan serta adab sopan dalam hidup berumahtangga dengan suaminya. Mengenai ini ada diriwayatkan bahawa Asma' binti Kharijah Fazari berkata kepada anaknya sewaktu perkahwinan anaknya dengan berkata:
" Hai anakku, kini engkau telah keluar dari sarang tempat engkau dilahirkan sehingga menjadi besar. Kini engkau mesti beralih ke suatu tempat dan rumah yang belum kau kenal dan engkau mesti berkawan dengan seoarang yang belum di kenali. Itulah suamimu, jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi langit untukmu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia akan menjadi tiang untukmu. Jadikanlah dirimu pengasuhnya, nescaya ia akan menjadi hambamu. Janganlah engkau menghimpunkan untuknya berbagai kesukaran, sebab itu akan membuatkan ia meninggalkanmu. Janganlah engkau terlampau jauh daripadanya, nanti ia akan melupakanmu. Tetapi kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan sekiranya ia menjauhimu, jauhilah ia dengan baik, peliharalah suamimu, hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah suamimu itu mencium sesuatu dari dirimu melainkan yang harum, jangan pula ia mendengar melainkan yang enak, jangan pula ia melihat melainkan yang indah dari diri mu.
Kata-kata yang merupakan kumpulan adab sopan wanita perlu dipanjangkan, iaitu isteri hendaklah merupakan tiang utama di tengah - tengah rumahnya. Isteri itu hendaklah sentiasa di bilik rumahnya, menetap ditempat perkakas anyamannya, tidak banyak turun naiknya ataupun keluar. Ia mesti kurang berbicara terhadap tetangganya. Janganlah memasuki rumah tetangganya itu melainkan didalam keadaan yang mengharuskan ia masuk di situ.
Isteri hendaklah menjaga suaminya, baik sewaktu ia pergi ataupun ketika ia ada di rumah. Hendaklah diusahakan agar suaminya gembira dalam segala perkara yang dihadapinya. Jangan sekali-kali isteri mengkhianati dirinya sendiri ataupun harta suaminya. Jangan pula isteri itu keluar dari rumahnya melainkan dengan izin suaminya. Jika telah menerima keizinan dan terpaksa keluar, maka hendaklah isteri itu berjalan bersembunyi-sembunyi, berpakaian yang sederhana, tidak mendedahkan tubuh dan pakaiannya. Hendaklah selalu di cari tempat-tempat yang lengang bukannya tempat lalulintas orang ramai sehingga berdesak-desakkan. Ia mesti menghindarkan diri dari bercakap-cakap dijalanan dengan lelaki bukan mahram.
Yang wajib diutamakan oleh isteri itu ialah kebaikan keadaannya sendiri serta mengatur dan mentertibkan keadaan rumahtangganya. Selain itu mestilah rajin melakukan ibadat, sembahyang serta puasa dan lain-lain yang menjadi kewajipan dirinya.
Apabila ada kawan suaminya meminta izin dan sedang berada di hadapan pintu, tetapi di masa itu suaminya tiada, maka tidak perlulah ia bertanya ataupun bercakap - cakap dengannya. Hendaklah ia cemburu pada dirinya sendiri dan juga perasaan cemburu terhadap suaminya. Seorang isteri hendaklah puas dengan apa yang ada pada suaminya dan apa sahaja yang direzekikan oleh Allah Taala kepadanya.
Ia mestilah mendahulukan hak suaminya atas haknya sendiri serta hak keluarganya. Ia wajib membersihkan dirinya selalu, bersiap sedia setiap waktu dan keadaan, barangkali suaminya itu dengan tiba-tiba menginginkandirinya untuk bersenang-senang. Selain itu isteri juga wajib mengasihi anak-anaknya, menjaga dan menutup keburukan mereka, jangan mudah mengeluarkan kata-kata makian kepada anak-anaknya ataupun berbuat sesuatu yang menyakitkan suaminya. Demikian nasihat seorang ibu yang budiman kepada anaknya. Sementara itu ada pula beberapa perkara yang merupakan adab sopan seorang isteri, jikalau ia menginginkan ketenangan dalam rumahtangganya iaitu:
a. Janganlah isteri itu membangga-banggakan dirinya terhadap suaminya kerana kecantikan yang dimilikinya.
b. Jangan menghina suaminya kerana buruk rupa dan wajahnya.
c. Sentiasa menjaga kedamaian, ketenangan dalam segala hal.
d. Menahan diri sewaktu suaminya tidak ada di rumah.
e. Menunjukkan sikap baik, bermain-main dan berlapang dada serta melakukan segala hal yang menyebabkan kesenangan suami sewaktu suaminya ada di rumah.
Ada suatu kewajipan yang harus dipatuhi oleh isteri dan ianya termasuk dalam hak-hak perkahwinan, iaitu:
a. Jikalau isteri itu ditinggalkan mati oleh suaminya, maka hendaklah isteri itu menjaga dirinya dan berkabung tidak lebih dari empat bulan sepuluh hari. Dalam waktu itu dia dilarang mengenakan harum-haruman dan berhias.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menunjukkan perkabungan kerana meninggalnya seseorang lebih dan tiga hari lamanya, melainkan untuk suaminya, maka bolehlah sampai selama empat bulan sepuluh hari" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
b. Isteri itu menetap di rumah yang disediakan sewaktu ia masih menjadi isteri dan suaminya yang meninggal itu sehingga habis masa iddah.
c. Isteri itu tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya atau keluar dari rumah itu, melainkan dalam keadaan darurat. Masih ada lagi adab sopan sebagai seorang isteri iaitu hendaklah isteri itu bekerja dan berkhidmat pada rumahtangga dalam segala perkara yang mampu ia lakukan, hal yang sedemikian inilah yang dilakukan oleh para isteri sahabat r.a.
marriage
11 years ago
0 comments:
Post a Comment