Friday, October 17, 2008

Buletin

ISLAM DAN UMMATNYA
Dengan lafaz Assalamualaikum wrh..wbth! Bertemu buat pertama kalinya saudaraku yang seagama denganku, yakni agama Islam. Pada keluaran kali ini, kita cuba membicarakan satu topik penting berkaitan `hidup matinya` agama dan kita.

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana telah mengurniakan nikmat Islam dan Iman kepada kita. Salam kasih yang tak terhingga kepada Nabi Junjungan Muhammad SAW, kaum keluarga dan para sahabat baginda yang telah banyak berjasa kepada kita dengan menunjukkan jalan-jalan dan kaedah-kaedah bagaimana kita ummat akhir zaman ini seharusnya menuruti mereka.

Islam dan Iman merupakan nikmat yang paling besar, yang Allah SWT anugerahkan kepada seluruh ummat manusia sejak dari zaman dahulu lagi sampailah hari qiamat. Ummat-ummat terdahulu yang telah berjaya adalah kerana mereka beriman dan berpegang dengan nikmat Islam dan Iman tersebut. Khususnya ummat Nabi Muhammad semasa hayat baginda SAW dan zaman para sahabat selepas itu, telah membuktikan bahawa kesungguhan mereka berpegang, beramal dengan menghidupkan nikmat Islam dan Iman itu bersungguh-sungguh sehingga mereka menjadi ummat yang terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Allah SWT di atas mukabumi ini.

Sejarah ummat Islam tidak pernah membohongi kita, malangnya ummatnya sahaja yang selalu melupai sejarah warisannya sendiri. Jika keturunan kita, nenek-moyang kita dahulu telah pernah merasai nikmat tersebut, hasil dari keikhlasan serta kesungguhan mereka mencari keredhaan Allah SWT. Apakah kita zaman muktakhir ini mempunyai pilihan atau jalan lain yang lebih mudah lagi untuk sampai ke situ?

Saudaraku, saya percaya! nikmat Islam dan Iman itu masih lagi bersama-sama kita dan ianya berlegar serta beredar dikalangan kita ummat Islam seluruhnya, cuma keadaan kesihatannya yang berbagai-bagai, ada yang lemah, sederhana malah ada yang terr..lalu… parah!
Kita sendiri tidak menafikan kelemahan turut membarahi di seluruh jasad ini, apakan daya.. insyaAllah! dengan kekuatan iman yang masih bersisa ini dan semangat serta kesungguhan untuk memperbaiki diri dan saudara sesama muslim, kita akan teruskan!..Ya dengan penuh sedar insyaAllah kita akan teruskan perjuangan murni ini.

ISLAM ITU HIDUP
Saudaraku, Islam itu sendiri yang diturunkan oleh Allah sebagai ad-Deen sebenarnya tidak bermakna dan bererti langsung jika sekiranya kita simpan dalam khazanah-khazanah kitab ilmu, dewan-dewan kuliah, seminar-seminar peradaban, perayaan-perayaan atau alunan-alunan merdu para qari serta nyayian nasyid-nasyid sahaja. Islam itu sesuatu yang tidak dapat dilihat keindahan dan keasliannya, malah kewujudannya jika ia yakni Islam itu tidak mengambil ruang atau medium di dunia realiti ini. Ruang atau medium bagi `kewujudan dan kehidupan` Islam itu adalah dalam tubuh orang-orang mukmin yang bertakwa.

Apabila individu-individu mukmin bertakwa ini hidup, berjalan, bermuamalah, berdakwah, berjihad dan sebagainya akan terlihatlah bersama-samanya `wajah-wajah` Islam yang sebenar itu, bukan lagi wajah-wajah kepalsuan dan kepura-puraan. InsyaAllah dengan sendirinya penganut-penganut palsu itu akan tersisih ketepi dari pentas kehidupan dunia.

Saudaraku, kita sebagai ummat Islam tidak boleh mengharapkan orang asing yang tidak ada kena mengena dengan agama kita untuk menjadi ruang dan medium tersebut. Mereka dalam apa keadaan pun adalah medium bagi musuh kita. Secara prinsipnya mereka sentiasa berusaha untuk menawan medium kita dan menukarkannya kepada medium jahiliyyah. Begitulah juga sepatutnya, bagi kita juga sepatutnya sentiasa mengintai di mana ada peluang untuk menawan medium-medium mereka yang lemah ataupun yang kuat bagi menjadikannya saudara kita.

Secara jujur jika diperhatikan selama ini, segala kelemahan pihak kita bukanlah engkara musuh 100% tetapi ianya banyak disebabkan oleh saudara kita sendiri yang lemah, lalai atau jahil tidak mengenali siapa kawan yang sepatutnya kita berkawan dan siapa musuh yang sepatutnya kita berwaspada. Secara jujur juga, kekuatan dan kegerunan yang nampak ada pada pihak musuh itu bukanlah kerana usaha pihak mereka sangat, tetapi pihak kitalah ummat Islam yang memberikan baja, makanan, ruang dan sebagainya tanpa ummah sedari.

ISLAM AKAN MENURUT FITRAHNYA
Ummat dahulu memulakannya dengan ilmu serta keyakinan kepada Allah yang menurunkan agama mereka. Mereka tidak pernah berkira-kira dengan apa yang mereka boleh dapat atau habuan dunia dengan menuruti agama ini. Sebaliknya ramai dari kalangan kita menyatakan beriman tetapi seolah-olah janji syurga dan azab neraka tiada kaitan langsung semasa bermuamalah di atas dunia.

Terbukti sudah bahawa agama Islam yang dianuti dahulu dan agama itulah juga yang kita anutinya sekarang, tetap dengan fitrahnya sebagaimana asalnya. Mereka dahulu berjaya apabila berjaya menuruti jejak fitrahnya. Maka insyaAllah kita juga akan berjaya apabila kita berjaya menuruti jejak-jejak keaslian dan fitrahnya juga.

Mulai saat ini marilah kita berazam dan berusaha untuk membebaskan diri kita dan semua saudara muslim kita kejalan yang benar diredhai oleh Allah SWT. Tak perlu lagi kita mengharapkan kepada pihak lain untuk memberi ruang mereka kepada kita untuk hidup sebagai ummat Islam. Yakinlah! Bahawa kita yakni setiap dari kitalah yang perlu mencipta atau membuka ruang yang sihat kepada agama Islam ini untuk sesama kita.

Ingatlah pesanan ini wahai saudaraku, `individu muslim tanpa biah atau persekitaran yang soleh ibarat orang yang tak berpakaian atau kurang sempurna pakaiannya` Sedangkan kita tahu bahawa mana mungkin seorang yang beriman tidak menutup auratnya. `Ilmu tanpa beramal adalah sia-sia, beramal tanpa berilmu binasa`.

Sekadar itulah sahaja untuk kali ini wallahu`alam. - Dari -Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -

0 comments: