Sunday, November 9, 2008

Fitnah Wanita

Kata orang "bila dah sayang, semuanya indah belaka".Dengan perkataan lain ,
sesuatu yang indah itu tidak dapat diukur dengan satu alat pengukur,
seperti kata orang alam ini indah, bergantung kepada rasa dan pandangan
masing-masing, bergantung kepada rasa dan pandangan orang yang
mengatakannnya.Oleh itu sesuatu yang indah, ukurannya terletak kepada orang
yang bersangkutan sahaja.

Jika seseorang itu tergoda dengan seorang perempuan dan merasakan bahawa
perempuan itu amat cantik tetapi adalah mungkin orang lain tidak merasakan
sedemikian.Oleh kerana itu pemuja kecantikan adalah fitnah dan memburunya
akan membuka jalan-jalan fitnah yang lain.

Antara para penyair dan para solihin serta muttaqin mereka tidak sependapat
dalam memandang dan menilai sesuatu objek yang indah, namun kedua-dua
golongan ini sependapat bahawa keindahan itu adalah sesuatu yang menarik
dan disukai.Titis embun yang melekat pada bebungaan , oleh penyair boleh
dianggap sesuatu hal yang indah yang diciptakan sedemikian rupa olah kuasa
langit.Manakala bagi para solihin dan muttaqin memandang akan hal itu
sebagai bukti bahawa tumbuhan juga berzikir dan beribadat kepada
Khaliknya?Seperti inilah pandangan dan penilaian seseorang terhadap
keindahan bergantung kepada penerimaan hati dan perasaan seseorang.

Berbicara soal keindahan sebenarnya kita tidak dapat menyangkal pengertian
keindahan yang terdapat pada diri wanita dan daya tarikan yang ada pada
mereka.Ramai penyair yang tertarik dengan suara wanita, terkadang mereka
tenggelam memuji dan memuja wanita.Lihat sajalah lirik-lirik lagu yang
banyak memuji kecantikan seseorang wanita, sedang Islam menegaskan bahawa
suara wanita itu adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara
mereka kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu untuk pelbagai fitnah.

Kerana sebab yang sama, Allah melarang perempuan melembutkan suara mereka
di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian akan mengundang reaksi yang
tidak baik di hati lelaki yang mengidap penyakit.Yang dimaksudkan dengan
hati yang sakit ini bukanlah kerana urat-urat darah yang tidak berjalan
lancar atau radang paru-paru yang selainnya daripada penyakit
jasmani(fizikal), akan tetapi ia adalah hati yang dihuni oleh penyakit
syahwat, yang apabila ada sedikit sebab sahaja ia pun bergelora dan
terangsang ingin menerkam sahaja.

Kalau mata suka memandang kepada sesuatu yang indah dan molek, telinga pula
suka mendengar suara atau bunyi yang merdu dan manja serta sedap
didengar.Buktinya lihat sahajalah bagaimana perhatian lelaki apabila
mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi perempuan.

Ramai lelaki yang menghafal banyak senikata lagu tetapi tidak boleh
menghafal bacaan sembahyang.Seorang penyair buta, Basyar bin Baroh
bermadah, "Wahai teman, cinta bukan milik sebahagian orang, cinta bukan
bagi orang yang celik sahaja tapi ia juga dimiliki oleh orang yang dapat
mendengar kerana telinga lebih dahulu mencintai daripada mata".

Jadi fitnah yang ditimbulkan oleh suara itu tidak terbatas hanya pada suara
penyanyi perempuan sahaja tetapi ianya juga boleh timbul daripada semua
suara perempuan.Sehingga ketika dalam solat pun wanita tidak boleh
mengangkat suara sekiranya imam (imam lelaki) tersalah bacaannya tetapi
disuruh menepuk tangan sahaja.Suara wanita itu ditakuti mengganggu
kekusyukan orang lain.Sesungguhnya, nabi Muhammmad SAW telah memperingatkan
fitnah suara wanita ini dengan sabdanya: " Sesiapa yang duduk mendengar
suara perempuan menyanyi pada hari kiamat kelak telinganya akan disumbat
dengan ini (benda cair)".Kerana biasanya lagu itu akan menggerakkan nafsu
yang ada dalam hati seseorang dan ini akan menghalang seseorang itu
daripada mengingati Allah dan bersembahyang.Kemudian membuatkan seseorang
itu suka kepada perkara-perkara yang haram.Bergurau senda dengan perempuan
adalah satu sebab paling kuat untuk mendengar suara mereka , suara yang
menjadi pesona luar biasa bagi lelaki.

Kerana tertariknya mereka kepada suara perempuan maka mereka memandangnya
sebagai satu perkara yang harus dipuja.Apakah hal ini bukan fitnah namanya?
Kebanyakan wanita setiap kali bercakap akan diikuti dengan senyuman.Ini
adalah adat mereka.Dengan cara ini berangkali mereka merasa harga diri
mereka terjaga.Ini juga fitnah yang dahsyat.

Sekarang kita berpindah dari fitnah suara dan perkataan kepada fitnah mata
dan pandangan, dari fitnah yang boleh bercakap kepada fitnah
bisu.Adakalanya kebisuan itu lebih bermakna daripada ratusan kata-kata.Ada
sesetengah perempuan gemar bercakap dengan lelaki, mereka tidak merasakan
ianya satu kesalahan.Di samping bercakap dengan mulut, mereka juga bercakap
dengan pandangan dan isyarat mata.

Ada juga wanita yang tidak gemar bercakap dengan lelaki, cukup dengan
pandangan mata mereka sahaja.Rupa-rupanya kepandaian bercakap dengan mata
ini adalah sifat yang dimiliki oleh semua wanita.Tidak ada pengecualian
antara mereka yang pemalu atau tidak.Hubungan antara mata dan hati adalah
hubungan yang tidak dapat disembunyikan.Apa yang terdetik di hati, akan
kelihatan di mata.

Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa selamanya hati dengan mata
mempunyai hubungan yang rapat.Allah mengatakan bahawa setiap yang
tersembunyi di relung hati dan yang terkandung pada mata adalah jelas
dengan ilmuNya.Firman Allah yang bermaksud: "Allah mengetahui pengkhianatan
mata dan apa yang tersembunyi di dalam hati".

Yang menjadi fitnah bukanlah kerana mata perempuan itu indah dan
mempersonakan sahaja, bukan pula kerana perempuan itu mempunyai bulu mata
yang panjang dan alis yang lentik sehingga mudah menerobos ke dalam tanpa
izin , bukan pula kerana anak mata hitam pekat berkilat atau
kebiru-biruan.Yang sebenarnya fitnah itu adalah kemampuan wanita itu
menggunakan matanya dalam menyatakan keinginan hatinya, melontarkan
pandangan yang lembut seolah-olah ia mengajak dan memanggil lelaki.

Agar tidak terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata perempuan , Islam
menyuruh supaya jangan memandang mereka dengan arahan supaya kaum muslimin
dan muslimat agar menundukkan pandangan mereka.Kerana memandang sesuatu
yang menarik hati akan mudah jatuh cinta kepadanya.Demikian juga kaum
wanita, diperintah agar tidak memandang kaum lelaki dan mengelakkan diri
daripada dipandang oleh lelaki.Oleh kerana itu, dia sendiri merupakan
fitnah yang berganda.Pertamanya, kecantikannya akan menggoda hati lelaki
dan keduanya pandangan matanya mengisyaratkan apa yang diingini hatinya.

Perempuan juga memiliki kuasa sakti yang menggoncang perasaan lelaki dengan
hanya melepaskan pandangannya kepada lelaki.Dengan matanya perempuan boleh
menundukkan lelaki dan jatuh cinta kepadanya.Tidak ada hati lelaki yang
tidak luluh apabila perempuan memandangnya dengan mata yang bercahaya penuh
kerinduan atau dengan mata yang digenangi air mata.Sepasang mata perempuan
adalah fitnah.

Adakalanya ia menggunakannya dengan pandangan yang lembut dan jernih,
adakalanya dengan lelehan air mata.Dengan kedua-dua cara ini mereka boleh
mencapai hasrat mereka.Kata orang , fitnah yang timbul dari mata dan suara
sama-sama merbahaya kerana perempuan tahu mereka memiliki kedua-dua senjata
ini.Mereka kadang-kadang tidak memakainya kepada yang disuruh iaitu suami
mereka tetapi menggunakannya untuk lelaki lain.

Oleh itu Islam melarang mereka memandang benda-benda haram seperti wanita
memandang lelaki ajnabi dan juga sebaliknya kerana pandangan itu lamanya
cuma satu atau dua saat tetapi kesannya kekal di dalam hati sepanjang
hayat.

Salah satu yang menarik perhatian lelaki pada diri seseorang perempuan
adalah dandanan rambutnya.Perempuan tahu akan hal ini.Oleh itu perempuan
berusaha menyisir dan membentuk rambut mereka supaya lebih menarik minat
dan perhatian kaum lelaki.Selalunya perempuan berhias itu adalah bertujuan
untuk mempamerkan kecantikannya terutama kepada lain jantina dan ia merasa
megah apabila dipuji oleh lain jantina akan kecantikannya itu.

Apabila suara wanita yang lembut dan intonasi yang sedap didengar mampu
menggetarkan hati lelaki, mata yang dicelak dapat menundukkan hati lelaki
maka rambut yang cantik dapat menawan hati lelaki.

Oleh kerana itu Islam mewajibkan kaum wanita memakai hijab..menutup
aurat.Dengan menutup aurat maka kaum wanita akan terpelihara daripada dosa
dan noda serta fitnah, juga ia meletakkan wanita pada tempat yang selamat
dari penglihatan kaum lelaki yang ada penyakit di dalam hatinya.Rasullullah
bersabda yang bermaksud, "Ada dua golongan yang bakal menghuni neraka di
mana belum pernah aku melihatnya, iaitu golongan yang memiliki cambuk
seperti ekor lembu, mereka memukul wanita dengannya dan wanita yang
berpakaian seperti telanjang , memereng-merengkan kepalanya seperti bonggol
unta.Mereka ini tidak masuk syurga, tidak mencium bau syurga dan
sesungguhnya bau syurga itu boleh dicium dari jarak yang sangat jauh".

Sesungguhnya sesiapa yang menganggap dirinya wanita muslimah yang mempunyai agama dan maruah
diri, janganlah melakukan sesuatu untuk memuaskan nafsu semata-mata,
tetapi ingatlah bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sedang yang
kekal hanyalah Allah dan kehidupan yang kekal adalah kehidupan akhirat yang
mana telah dijanjikan oleh Allah SWT kenikmatan syurga yang tiada tolok
bandingnya bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh.Insya-Allah?

0 comments: